Total Views

Friday, 28 October 2011

Allenby dahului pusingan pertama

PEMAIN Australia Robert Allenby bermula cemerlang dalam edisi kedua golf Asia Pasifik Klasik Malaysia CIMB apabila melakukan 63 pukulan, lapan bawah par untuk mendahului pusingan pertama kejohanan di Kelab Golf & Resort The Mines semalam. 

Pemain 40 tahun itu yang diganggu monyet ketika berlatih awal minggu ini, satu pukulan di depan Jhonattan Vegas manakala pemain Sweden, Fredrik Jacobson di tempat ketiga dengan 65 pukulan. Juara bertahan, Ben Crane dari Amerika Syarikat mencatat 69 pukulan, dua bawah par.

“Saya memulakan hari dengan beberapa putt baik dan memukul bola dengan baik,” kata Allenby yang mengumpul lapan birdie tanpa sebarang bogey. “Saya bermain baik kebelakangan ini tetapi gagal menguasai papan pendahulu. Lapan bawah par catatan baik untuk saya.”


Sementara itu, cabaran pemain tempatan yang dipikul Danny Chia dan Shaaban Hussin menyaksikan masing-masing menamatkan pusingan pertama kejohanan diiktiraf Jelajah PGA dan Asia itu dengan 71 dan 72 pukulan. 

Danny bermula baik dengan birdie di lubang ketiga sebelum pukulan tee kurang kemas mengakibatkan pemain nombor satu negara itu ‘double bogey’ dan ‘triple bogey’ di dua lubang berikutnya. Bagaimanapun dia memadamkan kesilapannya dengan tiga lagi birdie dalam sembilan lubang pertama sebelum menjadikan kedudukan par sepanjang sembilan lubang terakhir dengan dua birdie dan satu bogey. 

“Secara jujurnya, saya agak gemuruh pada permulaan permainan kerana tidak tahu apa yang menanti,” kata Danny yang pertama kali beraksi di kejohanan ini. “Malah tumpuan saya sedikit terganggu di beberapa lubang pertama tetapi saya kembali fokus hingga tamat permainan. 

Shaaban yang memperoleh tiket ke kejohanan PGA pertama di luar Amerika Syarikat untuk tahun kedua berturut-turut selepas menjuarai pusingan kelayakan tempatan, turut bangkit di akhir permainan untuk kedudukan 41 keseluruhan dengan satu pukulan atas par. 
“Saya bergelut dengan pukulan iron di awal permainan dan kerap terlepas green,” kata Shaaban yang melakukan dua birdie di lubang 14 dan 17 selepas tiga bogey di sembilan lubang pertama. “Mujurlah pukulan putt saya baik sepanjang sembilan lubang pertama. Jika tidak mungkin catatan saya lebih teruk lagi.” 

Wozniacki tetap no satu

STANBUL: Caroline Wozniacki yang tewas kelmarin masih mempunyai sebab untuk gembira apabila pemain Russia, Maria Sharapova menarik diri daripada kejohanan terakhir WTA akibat kecederaan, sekali gus mengesahkan pemain Denmark itu di tangga teratas dunia untuk tahun ini. 

Wozniacki tewas 6-2 4-6 6-3 kepada pemain Russia, Vera Zvonareva tetapi dengan Sharapova sudah dalam perjalanan pulang, kekalahan perlawanan kedua pusingan round-robin di Sinan Erdem Dome tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia yang digenggam sejak 36 minggu lalu.

Pemain nombor dua dunia, Sharapova yang hadir sebagai pencabar tunggal Wozniacki untuk kedudukan teratas itu, terpaksa menarik diri selepas tewas 7-6 6-4 kepada pemain China, Li Na dalam Kumpulan Putih .


Wozniacki, 21, kini berdepan juara Wimbledon, Petra Kvitova dan memerlukan kemenangan untuk membuka jalan ke separuh akhir kejohanan yang menawarkan hadiah AS$4.9 juta (RM16.7 juta) itu. 

“Saya suka permainan yang memakan masa lama,” kata Wozniacki yang menewaskan teman baiknya, Agnieska Radwanska pada Selasa. “Saya mahu memberikan penonton kepuasan. Lima jam tenis dalam tempoh dua hari cukup sempurna. 

“Saya rasa umum menyedari kepentingan gelaran nombor satu dunia. Jika anda budak kecil, mereka pasti faham apa maknanya menjadi pemain nombor satu. Mungkin tidak ramai yang mengetahui apa itu grand slam, tetapi pemain nombor satu memberi maksud lebih jelas.” 

Sharapova cedera buku lali di Tokyo baru-baru ini dan hanya pulih menjelang kejohanan di Istanbul. Tempatnya akan digantikan Marion Bartoli dari Perancis yang akan berdepan Victoria Azarenka hari ini. – Reuters 

Ingatan Mancini buat Adam

WOLVERHAMPTON: Bos Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada Adam Johnson supaya terus berusaha keras jika mahu mengelak daripada membazirkan bakat yang mampu meletakkannya sebagai pemain sayap terbaik Eropah. 

Johnson mempamer aksi individu menakjubkan dengan satu gol dan dua umpanan ketika City membelasah Wolves 5-2 kelmarin untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Liga.

Namun Mancini mengambil pendekatan memberi amaran kepada Johnson, bukan memuji pemain kebangsaan England itu, kerana mahu memastikan bakat besarnya tidak disia-siakan.


Ini adalah kali kedua dalam tempoh setahun Mancini melontarkan cabaran kepada Johnson. “Dia satu-satunya pemain sayap yang kami ada. Jika dia sedia meningkatkan usahanya, dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain. Anda boleh mencapai kemuncak pada usia 30 atau 31,” katanya. 

“Adam masih muda, ini baru musim ketiganya dan saya kecewa kerana dia tidak memberikan sepenuhnya di atas padang. Kadangkala dia berfikiran sudah cukup untuk menjaringkan satu gol dan membantu yang lainnya.” 

City bakal bertemu United sekali lagi dalam kelompok lapan terakhir untuk mengulangi pertemuan tetangga Manchester, dan Johnson yang tidak diturunkan Ahad lalu berpeluang membuktikan kemampuan sebenarnya kepada Mancini. – AFP 

Villas-Boas tabik Chelsea

LIVERPOOL: Pengendali Chelsea, Andre Villas-Boas kagum dengan semangat anak buahnya yang mengembalikan keceriaan selepas beberapa hari suram dengan kemenangan 2-1 ke atas Everton dalam pusingan keempat Piala Liga kelmarin. 

Chelsea terpaksa bangkit daripada kekalahan 1-0 kepada QPR Ahad lalu, yang menyaksikan kapten England John Terry dituduh mencaci Anton Ferdinand manakala bos Chelsea pula bakal berdepan denda kerana bertindak agresif kepada pengadil, Chris Foy.



Terry, yang disiasat FA di atas dakwaan berkenaan, tidak diturunkan di Goodison Park, tetapi ketiadaannya tidak menghalang Chelsea daripada merakam kemenangan dramatik ke atas Everton.


Nicolas Anelka terlepas sepakan penalti untuk meletak pelawat di depan tetapi Salomon Kalou memastikan peluang seterusnya – akibat kesilapan penjaga gol Everton, John Mucha – disempurnakan dengan mudah. 

Everton turut terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan penalti Leighton Baines diselamatkan Petr Cech yang masuk menggantikan Ross Turnbull selepas penjaga gol itu dibuang padang kerana menjatuhkan Tim Cahill. 

Louis Saha bagaimanapun menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan yang menyaksikan Daniel Sturridge meledak gol pada minit ke-116 untuk kemenangan Chelsea. 

“Kami sangat komited, menunjukkan kekuatan karakter dan semangat juang tinggi sekali lagi,” kata Villas-Boas. “Kami kehilangan seorang pemain, menjadikan permainan sekali lagi sukar buat kami tetapi kami berjaya menukarkannya kepada kemenangan. Itu petanda baik buat kami. 
” – AFP 

Laos ujian terakhir pemain Kim Swee

LAOS mungkin menjadi ujian terakhir skuad bola sepak B-23 negara sebelum mereka memulakan cabaran mempertahankan pingat emas pada saingan Sukan SEA 2011 di Jakarta, 8 November depan. 

Jurulatih negara, Ong Kim Swee membayangkan aksi persahabatan menentang skuad B-23 Laos di Stadium Shah Alam, 4.45 petang Ahad ini sebagai medan terakhirnya bagi menentukan senarai 20 pemain terakhir ke Jakarta.

"Saya akan fikirkan keperluan untuk mengadakan satu lagi aksi persahabatan pada 3 November, hanya selepas kita bertemu Laos. Jika tiada sekali pun, ia bukan isu besar kerana saya perlu juga memikirkan soal kecederaan pemain.


"Buat masa ini saya mempunyai 25 pelatih selepas melepaskan Nazmi Faiz Mansor dan Syazwan Tajuddin untuk menyertai Kelayakan B-19 Asia di Vietnam (31 Oktober hingga 8 November). 

"Jika ada satu lagi aksi pada 3 November, saya akan umum senarai 20 pemain terakhir pada 4 November. Jika tidak, saya boleh umum pada Isnin atau Selasa depan," kata Kim Swee semalam. 

Skuad negara kembali berkumpul untuk kem latihan pusat di Padang MSN, Bukit Jalil semalam dengan dua pemain, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Zakaria hanya menjalani latihan ringan akibat kecederaan. 

"Empat hari lagi baru kita boleh tahu sama ada kecederaan buku lali Wan Zack sempat pulih manakala Wan Zaharulnizam mungkin dapat kembali cergas dalam tempoh itu," jelas Kim Swee. 
Skuad negara akan berlepas ke Jakarta, Sabtu depan untuk mengharungi saingan Kumpulan A menentang Singapura (8 November), Thailand (10 November), Kemboja (15 November) dan Indonesia (17 November), kesemuanya di Gelora Bung Karno. 

Norhafiz buat kunjungan semula ke Shah Alam



PERTAHANAN berpengalaman Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah kembali bertandang ke Stadium Shah Alam malam esok – gelanggang yang menyaksikan dia pernah berputih mata menjulang Piala Malaysia 11 tahun lalu.

Sejak itu impian tonggak benteng skuad kebangsaan berusia 30 tahun untuk menebus kekecewaan serta mengucup piala keramat berkenaan tidak pernah kesampaian sehinggalah dia menyarung semula jersi skuad Hobin Jang Hobin musim ini.
"Ya, saya kembali lagi ke Stadium Shah Alam untuk aksi kedua final Piala Malaysia sepanjang kerjaya saya dan mungkin secara kebetulan saya beraksi sekali lagi bersama Negeri Sembilan.




"Sudah tentu saya mahu episod duka Stadium Shah Alam 11 tahun lalu dipadamkan apabila tewas kepada Perak 2-0 sekali gus memastikan impian terpendam menjulang dan mengucup piala keramat itu tercapai," katanya sejurus latihan terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam.

"Alang-alang sudah mara ke final, sudah tentu kami juga mahu menang. Lagipun, selepas gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA, ini adalah peluang terakhir kami untuk memenangi trofi musim ini.”

Bagi jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah, pertemuan itu adalah pertembungan antara prestasi dan pengalaman.

Dia tidak menolak hakikat andai prestasi pasukannya dan Terengganu diambil kira, lawan itu jelas berkelebihan dengan keupayaan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim menjuarai Piala FA dan menduduki tempat kedua Liga Super sebelum mara ke final piala keagungan itu dengan menumbangkan dua pasukan gergasi, Kelantan dan Selangor di suku akhir dan separuh akhir. 
Selain Azraai yang tampil buat kali keempat selepas membantu Kedah mara ke pentas final pada 2004, 2007 dan 2008, kapten pasukan, Shukor Adan pula beraksi buat kali ketujuh dan sebahagian lagi pemain akan bermain kali ketiga berturut-turut.

"Ini mungkin kelebihan dan senjata kami untuk menundukkan Terengganu kerana bukan mudah beraksi dalam final yang penuh dengan tekanan," kata pengendali yang sinonim dengan memakai baju merah jambu setiap kali pasukan kendaliannya beraksi. 

Penyu tak rela nangis!




"DOAKAN kejayaan kami, kami turun dengan satu tekad iaitu membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua ke bumi Terengganu," itu kata-kata penuh semangat penjaga gawang skuad penyu, Sharbinee Allawee.

Sedar tugas penuh berliku untuk mengawal pintu gawang daripada dibolosi, bekas penjaga gol kebangsaan ini mengharapkan barisan pertahanan dikemudi ketua pasukan, Marzuki Yusof mampu mengekang asakan penyerang lawan terutamanya Hairuddin Omar.
Kebimbangan paling digeruni pemain di benteng terakhir ini ialah tandukan berbisa Hairuddin dan tendangan kencang serta mengelirukan ketua pasukan skuad Hobin Jang Hobin, Muhamad Shukor Adan.


"Jika rakan di barisan pertahanan dan tengah mampu mengekang asakan dan serangan Negeri Sembilan, tugas mengawal gawang dari dibolosi akan menjadi lebih mudah.

"Saya berkeyakinan kesebelasan yang akan diturunkan esok mampu menggalas tugas seperti direncanakan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim," kata Sharbinee ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) petang semalam sebelum berlepas ke ibu kota. Semua pemain bersemangat melangkah ke bilik menunggu sebelum menaiki pesawat sambil bersalaman dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

"Biarpun senarai kesebelasan belum diumumkan, semua rakan sepasukan sudah mencapai kata sepakat iaitu turun dengan tekad merealisasikan impian rakyat dan kerajaan Terengganu untuk memburu kejuaraan kedua selepas mengungguli Piala FA musim ini," katanya.

Irfan Bakti pula menyatakan senarai kesebelasan yang akan diturunkan esok hanya diketahui setengah jam sebelum wisel sepak mula dibunyikan. 
"Banyak lagi ujian terpaksa ditempuhi pemain. Kita tahu semua pemain mahu bermain pada perlawanan akhir tetapi ini adalah pertarungan hidup mati. Hanya pemain terbaik akan disenaraikan, semua pemain masih mempunyai peluang," katanya.